KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Selangor, Nazliazmi Mohamad Nasir menegaskan pasukannya masih belum selamat untuk mara ke separuh akhir Piala FA biarpun meraih kemenangan selesa 3-0 ke atas Kuala Lumpur pada suku akhir pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam tadi.
Sebaliknya, beliau yang baru dilantik sebagai ketua jurulatih The Red Giants, Selasa lalu tetap berwaspada dengan kebangkitan anak buah Fabio Maciel pada suku akhir kedua di gelanggang sama, 21 April ini.
"Dalam bola sepak, apa saja boleh berlaku. Walaupun kami menang 3-0 pada aksi pertama, tak bermakna kami mampu raih keputusan sama pada suku akhir kedua nanti.
"Malah, kami sedar yang Kuala Lumpur pasti akan bermain habis-habisan untuk bangkit pada aksi kedua. Jadi, kami masih belum selesa dan perlu kekalkan fokus," katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Pada perlawanan yang sedikit panas itu, satu gol daripada Willian Costa Pacheco dan dua jaringan Rufino Segovia sudah cukup untuk The Red Giants membawa pulang bekalan selesa dari dari gelanggang lawan.
Mengulas lanjut mengenai persembahan anak buahnya, Nazliazmi menjelaskan fokus 100 peratus dan mengikut segala perancangan awal menjadi faktor juara Piala FA lima kali itu berjaya menundukkan skuad The City Boys.
"Kredit untuk semua pemain kerana mempamerkan aksi terbaik dan mengikut segala perancangan serta taktikal. Tiga gol yang terhasil bukan mudah kerana kita boleh lihat tentangan sengit diberikan Kuala Lumpur.
"Kuala Lumpur memberikan tekanan yang hebat yang menyebabkan pertahanan kami sedikit goyah. Apapun pemain saya dapat mengawal permainan dan meraih kemenangan," katanya.
Sumber : https://www.bharian.com.my/

